Sunday, March 27, 2011

Ahli Jawatankuasa Penaja : Belia Pirasan dan Rekreasi



KOTA BELUD 17 Feb. - 

Kerajaan sentiasa memberi galakan kepada golongan belia di negeri ini untuk menubuhkan persatuan belia di kawasan masing-masing.
Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Japlin Akim berkata, kerajaan melalui Jabatan Belia dan Sukan negeri bukan sahaja turut membantu memperkasakan pertubuhan belia yang sedia ada, namun berusaha menarik lebih ramai generasi muda supaya aktif berpersatuan.
"Kerajaan akan sentiasa memberikan galakan, termasuk memberi bantuan kepada belia yang berminat menubuhkan persatuan belia.
"Ia merupakan langkah terbaik memperkasakan golongan tersebut sebagai aset dan meneruskan proses kesinambungan pembangunan negara pada masa akan datang," katanya di sini semalam.
Japlin berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat penaja Persatuan Belia Kampung Pirasan, dekat sini.
Hadir sama Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Belud, Mohd. Mustazar Bundah.
Sambil mengucapkan tahniah atas inisiatif penubuhan persatuan belia di kampung tersebut, Japlin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan berkata, penubuhan persatuan tersebut penting dalam membanteras masalah sosial yang semakin berleluasa sekarang.
Selain itu, katanya, ia membolehkan peruntukan daripada kerajaan dan pihak swasta dapat disalurkan terus kepada kumpulan sasar bagi menjayakan pelbagai aktiviti yang dianjurkan.
Menurutnya, terdapat banyak persatuan belia di negeri ini yang boleh dijadikan model kepada para pemimpin belia dalam mencapai keberkesanan kepimpinan, agar setiap persatuan yang ditubuhkan mempunyai hala tuju yang jelas.
"Kita berharap penubuhan persatuan ini tidak hanya pada nama sahaja, tetapi pelbagai program kemasyarakatan dapat dilaksanakan, demi memberi faedah kepada semua pihak," katanya.
Tambah Japlin, program pembangunan belia perlu dirancang dan dilaksanakan dengan sebaiknya, termasuk melibatkan aspek seperti pendidikan, ekonomi, sukan, sosial dan agama.
Jelasnya, ia bertujuan untuk membolehkan ahli persatuan lebih dekat dengan masyarakat setempat.



No comments:

Post a Comment